Tuesday, June 30, 2009

Islam Hadhari adalah tajaan Amerika

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah ditaja oleh Amerika.
Ini, katanya kerana Islam Hadhari tidak membenarkan dilaksanakan hukum hudud dan berjihad.
Beliau mengambil contoh di Jordan tidak menggunakan istilah itu tetapi masyarakat madani yang mempunyai matlamat yang sama.
Menurutnya, Islam hadhari membenarkan pendekatan secara lembut dalam semua keadaan sedangkan Islam mengajar ada tempat boleh digunakan pendekatan secara keras.
“Makna tamadun ni (Islam Hadhari) kita orang Islam ini kena lemah selalu, kena serap mana-mana yang tak larat saja, hak kebangkitan, yang kuat-kuat, yang keras-keras itu, hak Islam tak boleh buat, kalau buat jadi ganas, ini kita kena jaga,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Jelasnya dari segi istilah, yang betulnya adalah Hadharah Islamiyah iaitu Tamadun Islam sebagaimana disebut Siasah Islamiah (politik Islam), Iktisod (ekonomi) Islam, Pendidikan Islam dan lain-lain.
“Orang tak sebut Islam pendidikan seperti kereta api, orang tak sebut api kereta,” jelasnya.
Ini katanya, kerana Islam itu besar di mana apa sahaja yang kecil bergantung kepada yang besar bukan sebaliknya.
Menurutnya, Islam Hadhari ialah Islam yang besar bergantung kepada yang kecil dan ianya tidak betul dari segi bahasa.
Beliau berkata, Hadharah Islamiah ialah orang Islam mengambil tamadun dan ilmu daripada orang China, India, Rom, Parsi dan lain-lain.
“Apa sahaja ilmu, orang Islam ambil, kalau ilmu tu molek, Islamkan ilmu itu, bukan Islam itu dimasukkan ke dalam ilmu lain, ilmu lain dimasukkan ke dalam Islam, dijadikan ilmu Islam,” ujarnya.
Beliau mengambil contoh mengenai ilmu falak di mana masyarakat terdahulu belajar ilmu itu untuk melihat nasib tetapi orang Islam belajar falak untuk menentukan arah kiblat, puasa, musim haji, edah perempuan dan lain-lain.
Ustaz Abdul Hadi menambah, Islam Hadhari juga bahaya kepada umat Islam kerana pendekatan yang diambil adalah untuk mendapatkan keuntungan dunia semata-mata tanpa mengambil kira halal atau haram.
“Islam suruh jual beli, riba haram tapi (Islam Hadhari) tengok sesuai tak diharamkan riba, inilah penyakit Hadhari, akan jadi begitu.
“Judi tengok keadaan, kalau hasil negara bertambah, ini boleh beri kepada syarikat besar yang boleh tolong dia dapat duit banyak, halal haram tak kira,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Islam Hadhari adalah Islam yang telah dirosakkan yang merupakan fitnah berlaku di akhir zaman.
Ini katanya, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. di mana akan berlaku kepada umat baginda yang meminum arak dan mereka menamakan arak itu dengan nama-nama yang lain.
Menurutnya, Islam Hadhari mencampuradukkan antara perkara yang hak dengan yang batil di mana ianya sangat mengelirukan orang ramai.
“Kita terang kepada orang tak reti, mengaji tak mahu, itu yang jadi masalah, padan dengan degil dia saja, nak buat macam mana.
“Dan kita kena sedar apa yang disebut Islam Hadhari ini sangat bahaya, kita telah memperkecilkan agama kita, Islam menumpang kepada tamadun,” katanya.

No comments:

Post a Comment